Wujudkan pusat tahanan khusus untuk pesalah syariah - Utusan Malaysia

Wujudkan pusat tahanan khusus untuk pesalah syariah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 10 Okt. – Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu mencadangkan diwujudkan satu pusat khusus untuk menempatkan pesalah syariah perlu bagi membolehkan mereka menjalani hukuman secara berasingan daripada pesalah sivil dipenjara.

Hakim Kamalruazmi Ismail berkata, langkah itu bertujuan memberi pemulihan akidah dan akhlak di samping kebaikan kepada pesalah syariah berbanding jika ditempatkan di penjara yang merangkumi pesalah jenayah berat seperti rogol atau samun.

Hal itu kerana, katanya, keadaan kesalahan dan pemulihan bagi kes jenayah syariah berbeza dengan sivil, justeru sekiranya pesalah dijatuhkan hukuman penjara dia akan berdepan pelbagai risiko termasuk menyebabkan dibuang kerja dan sebagainya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya berpendapat sudah tiba masanya dalam kes perundangan kesalahan jenayah syariah ini ada satu tempat khusus untuk pesalah sama ada di dalam penjara yang sama atau pada satu tempat tahanan berbeza.

“Kesalahan syariah ini berbeza dengan sivil. Kadang-kadang orang baik, terpelajar buat melibatkan kesalahan peribadi, contohnya kesalahan khalwat yang berpunca daripada iman individu yang lemah dan akibat daripada hukuman penjara itu akan memberi kesan seumur hidup terhadap pesalah,” katanya.

Beliau menyatakan demikian sebelum membacakan penghakimannya  hari ini dan memerintahkan seorang janda dihukum empat sebatan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan perbuatan sebagai persediaan untuk melacurkan diri pada 19 September lalu.

Beliau turut mengarahkan tertuduh ditahan bagi menjalani hukuman tambahan iaitu pemulihan selama enam bulan di Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan di Sabak Bernam, Selangor, bermula hari ini yang  dibuat mengikut Seksyen 68 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001. 

Ketika membacakan penghakiman, Kamalruazmi menyatakan kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius dan berat berdasarkan hukum syarak di samping mencemarkan kemuliaan negeri yang diberi gelaran Darul Iman.

Kes hari ini merupakan yang kedua di Terengganu apabila sebelum ini seorang ibu tunggal dihukum penjara enam bulan dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan sama, pada 27 September lalu.

 Kamalruazmi berkata, hukuman penjara merupakan hukuman berpanjangan dan sekali pesalah dipenjarakan individu berkenaan akan membawa gelaran banduan sepanjang hayatnya di samping dinafikan hak dalam banyak perkara.

Bagaimanapun, katanya, mahkamah masih memberi peluang untuk apa-apa pertimbangan bagi kesalahan kali pertama sekiranya boleh dielakkan hukuman itu.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini