PORT DICKSON – Ketika tempoh kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson hanya berbaki dua hari, calon Pas, Leftenan Kolonel (B) Mohd. Nazari Mokhtar memohon bantuan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ustaz Azhar Idrus supaya turun padang membantu kempen beliau.
Mohd. Nazari berkata, kehadiran tiga tokoh besar itu mampu memberi impak kepada pengundi.
“Saya sedang menghubungi Menteri Besar Kelantan, Menteri Besar Terengganu dan Ustaz Azhar Idrus, sekiranya dalam tempoh dua hari ini kami dapat khidmat mereka kami akan cuba gemblengkan gerak kerja bersama pemimpin ini.
Sebab saya lihat pemimpin lawan pun mereka Tun (Mahathir), kalau mereka bawa Perdana Menteri saya pun mengharapkan tokoh-tokoh ini dapat hadir membantu saya,” katanya kepada pemberita petang tadi.
PRK Port Dickson yang akan berlangsung pada 13 Oktober ini bakal menyaksikan pertarungan tujuh penjuru antara Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mewakili Pakatan Harapan; Mohd. Nazari dan lima calon Bebas termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad. – K! ONLINE











