SABAK BERNAM – Satu runtuhan baharu dikesan berlaku pada ban Sungai Air Tawar, di sini hari ini berikutan fenomena air pasang besar yang melanda daerah ini.
Pengerusi Pengurusan Bencana Daerah Sabak Bernam, Nasir Mamat berkata, berdasarkan laporan pemantauan pihaknya mendapati runtuhan baharu itu berlaku kira-kira 10 meter daripada ban yang runtuh semalam.
Katanya, runtuhan ban baharu sepanjang kira-kira 40 meter itu menyebabkan air laut melimpah masuk ke dalam parit berhampiran ketika kemuncak air laut pasang.
Berita berkaitan:
“Bagaimanapun, limpahan air laut yang masuk ke dalam kawasan penampan itu keluar semula apabila paras air laut kembali surut,”katanya.
Menurut Nasir, keadaan itu tidak menjejaskan kawasan tersebut kerana kawasan yang dibanjiri adalah kawasan zon penampan yang telah dikenal pasti sebelum ini.
Semalam, ban yang sama dilaporkan runtuh sepanjang kira-kira 20 meter berikutan paras air pasang luar biasa yang mencecah ketinggian sehingga 3.3 meter (5.6 meter mengikut bacaan di Pelabuhan Klang).
Sementara itu, pemantauan di Dataran Bagan Nakhoda Omar (BNO) pula digenangi limpahan air laut sedalam 20 sentimeter (sm) sentiasa berbanding hanya 10 sm pada pagi semalam.
Bagaimanapun, air kembali surut beberapa jam kemudian. – K! ONLINE











