PORT DICKSON – Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berharap bekas-bekas ketua kampung, pemimpin masyarakat dan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) daerah ini membantu beliau memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson pada 13 Oktober ini.
Mohd. Isa yang bertanding sebagai calon Bebas selepas UMNO membuat keputusan memboikot PRK berkenaan berkata, beliau memohon bantuan bekas pemimpin masyarakat terbabit meraih undi penduduk Port Dickson khususnya yang beliau kategorikan sebagai ‘pengundi putih’.
“Dari dulu pun ramai pimpinan di sini yang menyokong serta mencadangkan saya bertanding Parlimen, tetapi ketika itu tidak ada rezeki dan kali ini saya dapat bertanding.
“Saya minta pertolongan bekas-bekas ketua kampung ini yang tidak dilantik semula oleh kerajaan Pakatan Harapan supaya memanggil pengundi putih yang dijangkakan akan memberi sokongan kepada saya,” katanya pada satu perjumpaan bersama beberapa mantan ketua kampung dan bekas JPP daerah Port Dickson di sebuah restoran di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Isa berkata, kadar peratusan keluar mengundi awal bagi PRK Parlimen Port Dickson semalam yang agak rendah perlu diberi perhatian oleh semua pihak.
Kata beliau, kebiasaannya peratusan anggota tentera keluar mengundi agak tinggi kerana mereka lebih mudah diminta keluar mengundi berbanding orang awam.
“Saya tak tahu apa sebab, mungkin separuh daripada mereka keluar beroperasi atau ada hal lain. Saya tak sempat tanya,” katanya. – K! ONLINE











