MASIH terbayang-bayang di ingatan gaun pengantin pelakon Anzalna Nasir.
Kemunculan Anzalna yang menyarungkan gaun kembang berwarna-warni menyerupai salah satu watak patung Barbie Mariposa, memukau mata sesiapa yang melihat dek kerana keindahannya.
Biarpun majlis perkahwinan tersebut telah lama berlalu, kecantikan gaun rekaan Cosry itu masih diperkata orang, bahkan terpahat sejarah buat jenama tempatan itu apabila rekaan itu tular ke seluruh dunia.
Sememangnya, bukan calang-calang orang yang menyarungkan busana hasil sentuhan jenama ini. Rata-rata pelanggan Cosry merupakan golongan kenamaan dan selebriti memandangkan harganya yang diletakkan tinggi, sesuai dengan nilai rekaan busana yang sukar ditandingi.
Kini, Cosry meluaskan segmen pasaran mereka apabila bakal melancarkan koleksi baju pengantin mampu milik yang berharga serendah RM5,000.
Pengasas yang juga pereka Cosry, Teuku Putra Aziz berkata, pihaknya sedar bahawa kos sara hidup semakin meningkat, apatah lagi pakej-pakej perkahwinan yang terpaksa dinaikkan harga kerana dikenakan cukai tertentu.
Justeru, pihaknya mahu membantu bakal pengantin terutama yang berpendapatan sederhana untuk ‘merasai’ sentuhan rekaan eksklusif Cosry pada hari bahagia mereka.
“Jenama ini sudah ditubuhkan sejak 2005 lagi dan sehingga kini, hampir 38 orang selebriti sudah menyarung busana eksklusif kami, dengan setiap rekaan mempunyai identiti tersendiri.
“Namun, kami juga prihatin terhadap keadaan ekonomi yang tidak begitu memberangsangkan sekarang. Jadi kami mahu menawarkan pakej busana perkahwinan mampu milik kepada pelanggan.
“Ramai yang mahu menyarung busana kami tetapi ada yang mengatakan terlalu mahal.
“Jadi, perkara sebegini menjadi pertimbangan kepada kami untuk memberi peluang kepada pelbagai golongan menempah busana pengantin dengan kami,” katanya baru-baru ini.
Menurutnya, meskipun harga yang diperkenal jauh lebih murah dari kebiasaan rekaan Cosry, koleksi yang dijual masih mengekalkan kualiti dengan menitikberatkan soal perincian, fabrik dan rekaan yang eksklusif.
Katanya, bagi menjaga nilai rekaan busana, pihaknya tidak akan mengeluarkan busana siap dipakai, sebaliknya pelanggan yang mengambil pakej tersebut akan mendapat baju buatan tangan (custom made) sama seperti rekaan-rekaan lain.
Dia turut mengekalkan identiti rekaan Cosry seperti elegan yang ringkas menggunakan fabrik berkualiti tinggi dari luar negara.











