PORT DICKSON – Sebanyak 63 peratus atau 4,564 daripada 7,191 pengundi menunaikan tanggungjawab mengundi awal pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson di sini semalam.
Jumlah itu direkodkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi tiga pusat pengundian awal iaitu di Pusat Latihan Asas Tentera Darat, Kem Segenting dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson yang dibuka mulai pukul 9 pagi sebelum ditutup pada pukul 5.30 petang.
Angka tersebut lebih rendah berbanding 90 peratus atau 6,471 pengundi yang dicatatkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Berdasarkan daftar pemilih yang dikemas kini pada 11 September lalu, jumlah anggota tentera dan keluarga mereka yang sepatutnya terlibat dalam proses pengundian awal adalah sebanyak 6,636 orang manakala anggota polis pula seramai 555 orang.
Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, tiga pusat pengundian itu membabitkan 13 saluran dengan 10 dibuka sehingga pukul 5.30 petang.
Beliau berkata, bakinya sebanyak tiga saluran di IPD Port Dickson.
“Semua kertas undi pula disimpan di lokap IPD Port Dickson dan hanya akan dikira di pusat penjumlahan undi di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson pada Sabtu nanti,” ujarnya semasa meninjau proses pembuangan undi di sini semalam.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.










