PENANTIAN kontinjen negara untuk meraih pingat emas pertama pada Sukan Para Asia 2018 di Jakarta, Indonesia akhirnya tercapai menerusi kejayaan Siti Noor Iasah Mohamad Arifin dalam acara 400 meter (m) T20 (masalah pembelajaran) semalam.
Lebih menarik, Iasah, 29, memenangi acara itu dengan rekod baharu kejohanan iaitu 59 minit 49 saat (s), sekali gus memadam catatan lama 1:06.23s milik atlet Jepun, Mai Iwakiri yang dilakukan pada Sukan Para Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan.
“Saya sangat gembira kerana berjaya menyumbangkan pingat emas pertama buat kontinjen negara. Saya harap kejayaan ini dapat menyuntik semangat atlet-atlet lain untuk mencapai sasaran 15 pingat emas,” kata Iasah.
Atlet yang menduduki tangga keempat Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil itu berjaya menewaskan atlet Indonesia, Sesa Elvin Elhudia yang meraih pingat perak (1:01.38s) dan pemenang tempat ketiga dari Thailand, Charuswat Sukunya (1:06.14s).
Bagaimanapun, catatan itu gagal memecahkan rekod Asia milik Iasah sendiri iaitu 58.55s yang dilakukannya sewaktu Sukan Paralimpik 2016.
Seorang lagi atlet olahraga para negara iaitu Mohd. Nasharuddin Mohamad turut berjaya menghadiahkan pingat emas buat kontinjen negara dalam acara 400m T20 menerusi catatan masa 49.32s.
Ia membolehkan Nasharuddin, 23, bergelar pemegang rekod baharu Sukan Para Asia dengan memadamkan catatan lama 51.61s yang dilakukan pelari Iran, Peyman Nasiri Bazanjini pada edisi empat tahun lalu di Incheon,
Catatan 49.32s itu secara tidak langsung memperbaharui rekod Asia, 49.58s dilakukan Nasharuddin di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu tahun ini.
Turut menyumbang dua lagi pingat emas kontinjen negara semalam ialah atlet berbasikal para iaitu Ahmad Tarmizi Zuhairie dalam acara lepas beramai-ramai lelaki C5 serta Nur Azlia Syafinaz Mohd. Zais untuk kategori lepas beramai-ramai wanita kategori B.










