Skuad hoki remaja negara teruskan rentak cemerlang - Utusan Malaysia

Skuad hoki remaja negara teruskan rentak cemerlang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 9 Okt. – Skuad hoki remaja negara meneruskan prestasi cemerlang apabila menundukkan Mexico 4-2 dalam perlawanan kedua Kumpulan A, acara hoki lelaki lima sebelah pada Sukan Olimpik Remaja 2018 di Buenos Aires yang berlangsung Isnin (awal pagi Selasa waktu Malaysia).

Malaysia yang membelasah Vanuatu 14-0 dalam perlawanan pembukaan pada Ahad, membuka jaringan seawal minit keempat menerusi Mohd Akhimullah Anuar Essok yang menjaringkan gol padang, pada perlawanan yang berlangsung di Youth Olimpic Park, demikian menurut Persekutuan Hoki Malaysia (MHC) dalam laman Facebooknya.

Pasukan negara meneruskan dominasi dengan gol kedua oleh Arif Syafie Ishak pada minit ke-8 sebelum Mexico bangkit untuk membolosi gawang Malaysia enam minit kemudian menerusi Luis Villegas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Gol Mexico itu nyata membakar semangat skuad negara yang melebarkan jurang dengan dua gol lagi iaitu menerusi Arif Syafie dan Syarman Mat Tee dalam tempoh seminit pada minit ke-19 permainan.

Mexico memperoleh gol keduanya seminit kemudian melalui Jorge Estrada namun sudah terlambat untuk mereka menghalang pasukan bimbingan Wallace Tan itu daripada mencatat kemenangan kedua berturut-turut pada temasya tersebut.


Perlawanan lain dalam Kumpulan A menyaksikan Argentina membenam Vanuatu 18-0 sementara Zambia menewaskan Poland 4-3.

Malaysia akan bertemu Zambia pada perlawanan ketiga esok.

Juara bertahan Australia mengetuai cabaran Kumpulan B bersama-sama India, Kanada, Austria, Kenya dan Bangladesh.

Untuk rekod, Malaysia tidak layak dalam dua edisi terdahulu iaitu 2010 di Singapura dan 2014 di China. – BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini