Setiap kali menjelang sambutan Hari Kemerdekaan atau Hari Kebangsaan, lagu Saya Anak Malaysia nyanyian dR. Sam pasti akan berkumandang di corong-corong radio tempatan.
Bagaimanapun, tidak ramai peminat terutamanya generasi muda yang mengenali identiti pemilik suara di sebalik lagu tersebut, walhal beliau pernah memeriahkan industri muzik tanah air sekitar tahun 1980-an.
Sempat menghasilkan lima buah album sebelum mengambil keputusan bersara dari dunia seni, pemilik nama Salim Ibrahim, 62, itu lebih selesa terlibat dengan dunia dakwah yang turut mengubah gaya penampilannya.
Akui dR. Sam, hatinya tidak pernah sekalipun terdetik untuk kembali aktif dalam industri seni sejak berhenti pada tahun 1990. Bagi beliau, dunia tersebut bukan ditakdirkan untuknya.
KOSMO!: Mungkin dR. Sam boleh kongsikan dengan khalayak kini, apakah punca utama yang menyebabkan anda bersara dari dunia muzik?
DR. SAM: Saya masih ingat pada tahun 1990, pada masa tersebut saya baru pulang dari Mekah selepas selesai menunaikan ibadah haji. Hati saya sudah tawar untuk meneruskan kerjaya sebagai penyanyi dan saya nekad mahu cuci tangan sepenuhnya. Tambahan pula, keadaan industri yang agak teruk pada waktu itu menguatkan lagi tekad untuk meninggalkan karier seni. Saya anggap itu mungkin salah satu cara Allah mahu memberikan hidayah kepada saya untuk berhijrah menjadi lebih baik.
Bagaimanakah kehidupan anda selepas berhenti menyanyi?
Susah sebenarnya. Saya perlu bermula semula dari kosong kerana selama ini saya hanya tahu menyanyi. Saya cuba berniaga dan menjadi jurujual pelbagai jenis produk bagi meneruskan kelangsungan hidup. Agak lama saya melalui kesempitan hidup sebelum berjumpa dengan beberapa orang ustaz yang mengajak saya berubah dan perlahan-lahan saya mula aktif dalam kegiatan dakwah. Alhamdulillah, hidup saya tidak pernah sebaik sekarang dan saya bahagia dengan dunia ini.
Pernahkah anda pernah terfikir untuk kembali aktif dalam nyanyian mungkin menerusi cabang lagu-lagu ketuhanan?
Tidak. Cukuplah saya pernah menikmati pengalaman tersebut ketika masih muda. Memang ada jemputan dan tawaran daripada Iwan Dangdut untuk sama-sama merakam lagu ketuhanan dalam albumnya, namun saya menolak. Sudah lama saya tidak menyanyi dan tidak rindu pun untuk membuat persembahan seperti dahulu. Saya sudah pilih jalan dakwah dan mahu kekal begini.
Adakah anda menyesal pernah bergelar seorang penyanyi?
Bagai saya, itu sebahagian daripada takdir yang Allah tetapkan untuk saya. Jadi, mengapa perlu disesali? Saya ambil banyak pengajaran daripada kehidupan lepas sebagai penyanyi dan ada sebahagiannya meninggalkan memori manis. Enggan kembali aktif bukan bermaksud saya menyesal, cuma cukuplah setakat yang sudah pernah rasai.
Adakah keluarga turut menjadi punca anda tidak lagi mahu terlibat dengan muzik?
Sejujurnya, anak-anak saya langsung tidak tahu bahawa saya pernah bergelar artis sehinggalah beberapa tahun lepas mereka terlihat gambar saya dalam Internet. Saya seboleh-bolehnya tidak mahu mereka mengikut jejak langkah menjadi penyanyi. Jadi, mungkin itu juga menjadi pendorong saya menjauhkan diri daripada dunia seni selama ini.
Bercakap soal aktiviti dakwah, negara manakah yang paling jauh pernah anda kunjungi?
Saya sudah ke Thailand, Australia, Taiwan dan Hong Kong tetapi baru-baru ini saya baru pulang dari Namibia di benua Afrika. Kebiasaannya, saya akan terbang ke negara luar bersama ahli kumpulan dakwah yang lain. Saya banyak belajar tentang saudara Islam yang jauh lebih susah di negara orang, ia sekali gus membuatkan saya sentiasa bersyukur kerana tinggal di Malaysia.











