LONDON 6 Okt. – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memerlukan AS$50.5 juta (RM209.42) bagi menyediakan bantuan segera untuk membantu mangsa gempa bumi dan tsunami di Indonesia.
PBB telah menyediakan pelan yang disediakan secara rundingan dengan para pegawai kerajaan Indonesia menggariskan tentang bagaimana komuniti bantuan kemanusiaan akan beroperasi menyediakan bantuan termasuk bantuan teknikal.
Lebih daripada 1,500 orang terkorban minggu lalu dalam bencana gempa dan juga tsunami manakala ribuan penduduk lagi masih lagi hilang.
Bandar Palu menerima kesan paling buruk apabila dipenuhi sisa bangunan runtuh berupa timbunan kayu dan besi buruk.
Pelan yang dirangka PBB akan memberikan bantuan kepada 191,000 mangsa dalam tempoh tiga bulan akan datang, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkannya.
Menurut PBB, dianggarkan 65,000 kediaman mengalami pelbagai bentuk kerosakan, 10,000 kediaman musnah teruk akibat tsunami manakala 15,000 kediaman lagi rosak akibat gempa bumi.
“Seminggu selepas bencana, keadaan sebenarnya akan diketahui,” kata Penyelaras Residen PBB, Anita Nirody.
“Penduduk yang terjejas, terutamanya mereka yang kehilangan rumah dan semua barangan mereka, memerlukan perlindungan, akses kepada air bersih, penjagaan kesihatan dan juga sokongan,” kata beliau.
Dana yang diminta PBB akan membolehkan komuniti kemanusiaan antarabangsa menyokong maklum balas kerajaan dan organisasi tempatan secara lebih berkesan. –AFP











