KUALA LUMPUR 6 Okt. – Mahu sujud merupakan permintaan terakhir pengajar rancangan Muqaddam yang popular sekitar awal 1970-an, Tan Sri Hassan Azhari sebelum meninggal dunia.
Menurut anaknya, Datuk Mohd. Zain Hassan, Allahyarham sempat menunaikan permintaan terakhir itu bersama abangnya ketika berada di rumah.
“Allahyarham beritahu beliau mahu sujud buat kali terakhir untuk meminta ampun dan menyatakan kesyukuran kerana dipanjangkan umur.
“Allahyarham sujud selama 15 minit pada Sabtu lepas dan keesokan harinya, dia langsung tidak boleh bercakap sebelum kami bawa ke Hospital Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui di Persiaran Keramat Hujung, di sini hari ini.
Mohd. Zain yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn. Bhd. berkata, Allahyarham sudah berada di HKL selama seminggu sejak Ahad lalu.
Jelasnya, Allahyarham meninggal akibat kanser limfoma yang dikesan sejak akhir Ogos lalu.
“Akhir Ogos lalu Allahyarham demam dan selepas pemeriksaan dilakukan, beliau didapati mempunyai kanser limfoma tahap empat.
“Beliau kemudian dijaga di rumah secara bergilir oleh anak-anaknya sebelum dimasukkan ke HKL pada Ahad lalu,” ujarnya.
Jelas Mohd. Zain, kesihatan Allahyarham mula menurun sejak pagi tadi sebelum meninggal dunia kira-kira pukul 5.07 petang tadi.
Tambah beliau, Allahyarham akan dimandikan dan disolatkan esok di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor kira-kira pukul 9 pagi.
Jenazah kemudian akan dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam, Selangor. – UTUSAN ONLINE











