Tiga pelumba negara perlu bekerja keras di Buriram, esok - Utusan Malaysia

Tiga pelumba negara perlu bekerja keras di Buriram, esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 6 Okt. – Kesemua pelumba negara yang beraksi dalam tiga kelas perlumbaan iaitu MotoGP, Moto2 dan Moto3 gagal memanfaatkan kesempatan untuk berada pada kedudukan yang lebih selesa dalam sesi kelayakan Grand Prix Motosikal Thailand di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, sebentar tadi.

Dalam saingan kelas utama MotoGP, pelumba Monster Yamaha Tech 3, Hafizh Syahrin Abdullah melengkapkan aksinya di kedudukan ke-18 setelah mencatat masa sepusingan satu minit, 31.389 saat (s).

Hafizh dalam kenyataannya yang dipetik menerusi laman web rasmi pasukannya berkata, dia berjaya memperbaiki catatan masa yang dilakukannya sewaktu sesi latihan musim sejuk yang lalu, tetapi keputusan tersebut masih belum cukup bagus untuknya berada di kedudukan yang lebih baik.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami akan terus bekerja keras dan sudah tentu sikap positif perlu dikekalkan. Saya cuma perlu mengorak langkah demi langkah, kerana kategori ini bukanlah mudah. Jadi, saya akan terus bekerja keras dan melakukan lebih baik.

“Saya amat berharap kami dapat melakukan sesuatu untuk perlumbaan esok,” katanya.

Dalam kelas Moto2 pula, Khairul Idham Pawi yang mewakili pasukan Idemitsu Honda Team Asia sekadar berada di kedudukan ke-24 dengan catatan masa sepusingan 1:37.537s, manakala Adam Norrodin dari pasukan Petronas Sprinta Racing yang beraksi untuk Moto3 menghuni tempat ke-21 menerusi lakaran masa 1:43.399s.

“Saya mohon maaf kerana tidak dapat memberikan persembahan terbaik pada hari ini. Saya telah terbabit dalam kemalangan pada sebelah pagi dan keadaan jentera tidak begitu bagus. Bagaimanapun, saya masih tetap yakin untuk mencatat keputusan yang baik dalam perlumbaan sebenar, esok. Saya bersedia untuk memberikan tentangan sengit,” ujar Adam.

Sementara itu, pelumba remaja Malaysia yang beraksi dalam Asia Talent Cup (ATC), Danial Syahmi berjaya mengibarkan Jalur Gemilang di bumi Thailand setelah dia menjuarai perlumbaan tersebut, sebentar tadi.

Anak muda muda itu mencatat masa terpantas 29:01.212s untuk mengungguli saingan, meninggalkan pelumba Australia, Billy Van Eerde di kedudukan kedua (29:01.233s), manakala Haruki Noguchi di tempat ketiga (29:01.360s). – UTUSAN ONLINE

ends.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini