Lagi guru wanita ditipu jejaka 'mat salih', serah lebih RM39,000 selepas dijanjikan hadiah - Utusan Malaysia

Lagi guru wanita ditipu jejaka ‘mat salih’, serah lebih RM39,000 selepas dijanjikan hadiah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING 6 Okt. – Seorang guru wanita kerugian RM39,574.09 selepas terpedaya dengan seorang lelaki mendakwa diri warga Amerika Syarikat yang mahu memberinya hadiah.

Mangsa berusia 47 tahun berkenalan dengan seorang jejaka di laman sosial Facebook menggunakan nama Fred Stevens William Fernando yang mendakwa dirinya askar pada pertengahan September lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak, Superintenden Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, kejadian berlaku antara 14 September hingga 2 Oktober lalu sebelum mangsa membuat laporan polis semalam, apabila merasakan dirinya ditipu lelaki berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selepas seminggu berkenalan, suspek memberitahu mangsa bahawa dia akan mengirim barang kepadanya.

“Mangsa kemudian membuat transaksi atas talian melalui akaun Maybank pada 24 September lalu, pukul 11.44 pagi ke akaun Emirates NBD suspek sebanyak RM2,306.15,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, mangsa membuat transaksi kedua secara atas talian pada pukul 10.16 pagi pada 27 September lalu ke akaun yang sama sebanyak RM5,667.30.

Katanya, mangsa yang semakin teruja untuk memiliki hadiah itu kemudian membuat pemindahan wang ke akaun yang sama sebanyak RM21,609.40  di Maybank Jalan Song pada pukul 5.30 petang, 1 Oktober lalu.

“Kali terakhir mangsa membuat transaksi atas talian ke akaun yang sama adalah pada pukul 5.30 petang, 2 Oktober lalu berjumlah RM9,991.24.,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, selepas membuat pembayaran, mangsa masih belum menerima barang yang dijanjikan lalu membuat laporan polis.

Terdahulu kelmarin, juga akibat teruja mahu mendapatkan hadiah daripada kenalan, jejaka ‘mat salih’, seorang guru wanita kerugian RM5,500 setelah diperdayakan oleh sindiket penipuan bungkusan atau ‘parcel scam’.

Walau bagaimanapun, mangsa berusia 53 tahun yang ditipu antara 27 September hingga 2 Oktober lalu, hanya membuat laporan polis kelmarin.

Sementara itu, Mustafa Kamal berkata, JSJK negeri menerima empat lagi laporan berkaitan Macau Scam semalam, namun semua mangsa tidak mengalami kerugian.

Ujarnya, empat laporan yang diterima itu melibatkan dua kes di Sibu manakala selebihnya di Bintulu dan Miri. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini