KUALA LUMPUR – Berdasarkan maklumat yang diterima berhubung usaha sebuah kumpulan pengganas untuk menubuhkan pusat pengajian di rantau asia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan beberapa siri serbuan dan berjaya menahan seramai lapan lelaki pada 24 September lalu.
Operasi oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas PDRM telah melakukan serbuan di Perlis, Kuala Lumpur juga Johor dan menahan seramai lapan individu berfahaman Salafi Jihadi di Yemen yang terdiri daripada tujuh warganegara asing serta seorang warga tempatan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kesemua suspek yang ditahan mempunyai hubungan dengan sebuah pusat pengajian Islam di Perlis sama ada sebagai pelajar, bekas tenaga pengajar juga bekas pelajar.
“Tangkapan pertama telah dibuat di Perlis dan melibatkan seramai lima lelaki dari sebuah negara Eropah serta seorang lelaki dari sebuah negara di Benua Amerika yang berusia di antara 24 hingga 38 tahun dan merupakan pelajar di sebuah pusat pengajian Islam di sana.
“Maklumat yang diperoleh daripada agensi perisikan asing mendedahkan keenam-enam suspek sama ada mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas Daesh atau lain-lain kumpulan ekstremis yang bergerak di negara asal mereka,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Menurut Fuzi, tangkapan kedua pula dilakukan di Kuala Lumpur melibatkan seorang lelaki berusia 33 tahun dari sebuah negara di Timur Tengah dan merupakan bekas tenaga pengajar di pusat pengajian Islam yang sama di Perlis.
Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas PDRM menahan salah seorang daripada lapan suspek dalam serbuan di Perlis, Kuala Lumpur juga Johor baru-baru ini. Foto ihsan PDRM“Suspek aktif menganjurkan kelas-kelas agama yang tidak mendapat tauliah daripada pihak berkuasa agama negeri bagi tujuan menyebarkan ideologi Salafi Jihadi di sekitar Lembah Klang.
“Tangkapan ketiga pula dilakukan di Muar, Johor melibatkan seorang warga tempatan berusia 32 tahun yang bekerja sebagai peniaga dan merupakan bekas pelajar di pusat pengajian Islam sama di Perlis pada tahun 2014,” ujarnya.
Fuzi berkata, hasil soal siasat awal ke atas semua suspek mendedahkan mereka menolak sistem demokrasi dan ditanam dengan fahaman ekstrem seperti lelaki dan wanita diharamkan memakai seluar, mendakwa pengajian sekular di institusi pengajian tinggi awam dan swasta adalah haram serta tidak dibenarkan bekerja kerana terdapat percampuran antara lelaki dan wanita.
“Siasatan awal yang dilakukan turut mendapati bahawa kesemua suspek yang ditahan mempunyai hubungan dengan sebuah madrasah di Dammaj, Yemen yang diasaskan oleh seorang tokoh Salafi Jihadi yang ekstrem, Syeikh Muqbil Hadi Al Wadi’i.
“Madrasah tersebut berpegang kuat dengan ideologi Salafi Jihadi malah menghalalkan pembunuhan orang bukan Islam dan orang Islam yang tidak sealiran dengan mereka dianggap kafir serta melabelkan sistem demokrasi sebagai Toghut (tidak mengikut hukum Allah),” jelasnya.
Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas PDRM menahan salah seorang daripada lapan suspek dalam serbuan di Perlis, Kuala Lumpur juga Johor baru-baru ini. Foto ihsan PDRMJelas Fuzi, tangkapan yang dibuat adalah bagi membendung penyebaran ideologi Salafi Jihadi yang menjadi pemangkin kepada tindakan ganas kumpulan-kumpulan seperti Islamic State, Al-Qaeda dan lain-lain malah ini bukanlah kali pertama elemen-elemen Salafi Jihadi asing menggunakan Malaysia sebagai pangkalan untuk menyebarkan ideologi mereka dan merekrut anggota baharu.
“Kesemua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab Via-Kesalahan berkaitan dengan Keganasan, Akta 574 Kanun Keseksaan dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Akta 747),” tegasnya. – K! ONLINE











