PRAGUE 6 Okt. – Seorang lelaki berusia 33 tahun telah didakwa di mahkamah Republik Czech di atas pertuduhan melakukan serangan dengan menggunakan pisau ke atas pemenang dua kali Wimbledon, Petra Kvitova pada 2016, kata jurucakap pendakwaraya di sini, hari ini.
Bintang tenis Republik Czech, Kvitova mengalami kecederaan tendon di tangan kirinya apabila penyerang tersebut menikam pemain berkenaan sewaktu dia berada di pangsapurinya.
Kvitova terpaksa menjalani pembedahan dan tidak dapat bertanding selama beberapa bulan.
Jurucakap kepada pendakwaraya berkata, tertuduh, 33, didakwa kerana melakukan serangan dengan menggunakan pisau ke atas mangsa di bandar Prostejov pada 20 Disember 2016.
Jika didapati bersalah, tertuduh boleh dipenjara untuk tempoh lima dan 12 tahun, kata jurucakap itu lagi.
Bagaimanapun, jurucakap tersebut tidak pula memberikan sebarang nama, tetapi tarikh dan lokasi serangan berlaku sama dengan kejadian yang menimpa Kvitova.
Kvitova bakal beraksi dalam pertandingan Final WTA di Singapura pada minggu terakhir Oktober. – REUTERS











