Rafizi kejutkan Azmin di Kelantan - Utusan Malaysia

Rafizi kejutkan Azmin di Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 5 Sept. – Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mencipta kejutan apabila menewaskan penyandang jawatan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamaed Azmin Ali dengan majoriti 289 undi dalam pemilihan pusat parti itu di Kelantan hari ini.

Rafizi mendapat 5,211 undi daripada 14 cabang PKR di seluruh negeri ini manakala Mohamed Azmin menerima 4,922 undi.

Keputusan rasmi tersebut diumumkan oleh laman rasmi pemilihan pkr, www.pemilihanpkr2018.com sebentar tadi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Pandan itu tewas kepada Mohamed Azmin di Pulau Pinang dan Johor.

Dalam pada itu, anak Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar terus mendahului pencabar lain untuk jawatan Naib Presiden.

Nurul Izzah yang merupakan sebahagian daripada team Refromasi 20 tahun yang diketuai Rafizi mendapat 6,664 undi manakala seorang lagi rakannya, Datuk Johari Abdul berada di tempat keempat dengan 3,612 undi.

Dua lagi pemenang ialah Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin (4,751 undi)dan penyandang kerusi tersebut Shamsul Iskandar Mohd. Akin (3,741 undi).

Kedua-dua mereka yang mempunyai jawatan dalam Kerajaan Pusat berada dalam pasukan Mohamed Azmin.

Seramai 12 orang menawarkan diri untuk merebut empat tempat Naib Presiden PKR.

Sementara itu, wakil kumpulan Rerformasi 20 tahun iaitu Akmal Nasrullah Mohd. Nasir turut mencipta kejutan apabila menang untuk jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan dalam pemilihan di negeri ini.

Beliau yang menerima 1,482 undi menewaskan Dr. Afif Baharudin dengan majoriti 371 undi.

Bagaimanapun bagi jawatan Ketua Wanita AMK, Haniza Mohd Talha yang berada dalam kem Mohamed Azmin menang. Beliau yang merupakan anggota Exco Kerajaan PKR Selangor mendapat 1,899 undi manakala pencabarnya, Fuziah Salleh 1,639 undi.

Pasangan Haniza, Dr. Daroyah Alwi yang juga ahli Exco Kerajaan PKR Selangor mendapat 1,916 undi untuk menewaskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Selangor, Rodziah Ismail yang menerima 1,477 undi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini