IPOH 5 Okt. – Bunyi dentuman kuat selama beberapa saat yang dirasai di sekitar bandar raya ini yang tular dalam media sosial pagi semalam bukan berpunca daripada aktiviti peletupan kuari.
Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) negeri, Ahmad Zukni Ahmad Khalil berkata, sebaliknya bunyi dentuman pada kira-kira pukul 11.15 pagi tersebut yang turut dirasai di kawasan sekitar serta Batu Gajah dan Taiping masih kekal misteri sehingga kini.
Ahmad Zukni memberitahu, ini kerana hasil siasatan dan pemeriksaan serta merta yang dibuat pihaknya di kuari-kuari sekitar Simpang Pulai dekat sini mendapati tiada sebarang kerja peletupan dijalankan sebelum pukul 1 tengah hari selaras dengan syarat Surat Kelulusan Skim Kuari bagi kuari-kuari di negeri ini.
“Mengambil berat atas insiden dan kebimbangan penduduk sekitar Ipoh, JMG selaku jabatan yang bertanggungjawab dalam mengawal selia aktiviti pengkuarian telah menjalankan siasatan serta merta di kawasan terlibat sebaik mendapat aduan berkenaan.
“Kita telah turun ke tapak kuari-kuari berhampiran untuk menyiasat sama ada dentuman kuat itu ada kaitan dengan letupan kuari. Namun kita dapati ia bukan atas sebab aktiviti peletupan di kuari kerana mereka hanya boleh melakukannya bermula pukul 12 tengah hari sehingga 5 petang malah dentuman yang berlaku juga tidaklah sekuat seperti yang berlaku semalam,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Presiden Dewan Perlombongan Bumiputera Negeri Perak, Datuk Musa Nordin.
Tambah Ahmad Zukni, sehingga kini tiada kata putus tentang punca dentuman berkenaan dan pihaknya sedang melakukan siasatan lanjut.
Sementara itu, Musa berkata, aktiviti kuari di Perak tertakluk kepada undang-undang yang sangat ketat terutama dalam aspek letupan.
“Berita yang tular dalam media sosial menyatakan bunyi dentuman berkenaan boleh di dengar dalam kawasan radius yang sangat luas. Namun sekiranya pihak kuari menggunakan bahan letupan yang kuat seperti itu, saya rasa ia bukan sahaja boleh meletupkan kawasan kuari sebaliknya bandar Ipoh juga boleh ranap.
“Itu sebab industri kuari mempunyai prosedur operasi standard yang ketat serta perlu mendapatkan kelulusan daripada pelbagai pihak sebelum aktiviti membedil dilakukan supaya dentuman yang berlaku dalam keadaan terkawal dan hanya dirasai kawasan sekitar,” ujarnya.











