AITOLIKO, GREECE – Penduduk sekitar digemparkan dengan kewujudan sarang labah-labah gergasi yang ‘menyelimuti’ beberapa bahagian pesisir sebuah lagun, dekat sini.
Portal Daily Hellas melaporkan, sarang yang meliputi kawasan semak-samun itu berkeluasan hampir 300 meter.
Menurut penduduk setempat, peningkatan jumlah labah-labah di kawasan tersebut adalah seiring dengan pertambahan kehadiran nyamuk di lokasi yang sama.
Kumpulan labah-labah itu dikenal pasti daripada golongan tetragnatha kerana mempunyai komposisi bentuk badan yang panjang.
Terdapat sebahagian labah-labah daripada spesies tersebut gemar mendiami kawasan tepian sungai atau tasik.
Ahli biologi molekul dari Universiti Democritus of Thrace, Maria Chatzaki berkata, labah-labah tersebut tidak berbahaya kepada manusia dan tidak membawa kemudaratan kepada persekitaran.
“Fenomena sarang gergasi labah-labah ini boleh berlaku untuk beberapa tahun dan ia tidak membawa kerosakan kepada tumbuh-tumbuhan,” katanya.– ABC NEWS











