LONDON – Pasukan Red Bull berharap mempunyai komponen yang mencukupi buat jentera mereka bagi mengelak sebarang tindakan atau penalti dikenakan dalam lima baki pusingan perlumbaan yang tinggal musim ini.
Pada saingan Grand Prix (GP) Rusia, kedua-dua pelumba Red Bull iaitu Max Verstappen dan Daniel Ricciardo terpaksa memulakan perlumbaan di petak belakang selepas dikenakan penalti grid kerana menukar komponen pada jentera.
Meskipun bermula perlahan di petak belakang, namun Verstappen menjaya menamatkan perlumbaan di tempat kelima, manakala Ricciardo di kedudukan enam.
Pada perlumbaan di Litar Antarabangsa Suzuka sempena GP Jepun hujung minggu ini, kedua-dua pelumba Red Bull akan berlumba menggunakan enjin Renault yang dinaik taraf kepada spesifikasi C berbanding spesifikasi B di Sochi.
Justeru, Ketua Pasukan Red Bull, Christian Horner berharap perkara tersebut akan membolehkan pasukan itu mengelak sebarang penalti sehingga tamat musim ini.
“Kami sekarang mempunyai dua enjin yang boleh digunakan untuk berlumba bermula hari ini sehingga penghujung tahun nanti.
“Jadi, saya berharap sangat kami mempunyai cukup komponen bagi mengelak sebarang hukuman pada lima baki perlumbaan musim ini,” ujar Horner. – Agensi











