Keputusan Kerajaan Negeri Terengganu menolak permohonan penganjuran Island Music Festival 2018 di Pulau Redang yang dijadualkan berlangsung pada 12 Oktober ini amat dialu-alukan. Pendirian itu diputuskan dalam mesyuarat mingguan Exco, Rabu lalu setelah mendapat maklum balas yang tidak menyenangkan daripada ramai.
Festival muzik selama tiga hari di pulau peranginan itu adalah tradisi sejak tahun 2013 namun dilihat memberi persepsi yang negatif, bertentangan dengan moral dan agama serta jelas tidak menepati Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 2003.
Itulah yang terbaik. Program-program hiburan jika menyimpang daripada adab ketimuran dan Islam eloklah disekat dan dihentikan. Tidak rugi pun berbuat demikian kerana dengan menghalang kemungkaran, insya-Allah masyarakat, negeri dan negara lebih aman dan makmur.
Terengganu turut mengeluarkan garis panduan penganjuran sebarang acara persembahan pentas tidak dibenarkan mengandungi unsur percampuran antara lelaki dan wanita. Perkara tersebut terkandung dalam garis panduan penganjuran yang dikeluarkan oleh Jabatan Pelancongan negeri 2 Oktober lalu.
Dalam garis panduan itu, Jabatan Pelancongan menyatakan, acara persembahan pentas hanya melibatkan penyanyi dan penari lelaki manakala persembahan penyanyi dan penari wanita hanya boleh dilakukan kepada wanita di tempat tertutup. Selain itu, tidak boleh berlaku percampuran terlampau di antara lelaki dan wanita di atas pentas ketika persembahan.
Sebagai agama yang menepati keperluan fitrah, Islam tidak menghalang umatnya berhibur, namun hiburan di sisi Islam perlu disuluh dan dipandu mengikut nilai-nilai murni yang dibawa oleh Islam.
Hadis daripada Khalid bin Zakwan r.a bahawa Al-Rubai’ binti Mua’wiz menceritakan: Nabi SAW telah mengunjungi ku di hari perkahwinanku, baginda mengambil tempat duduk di atas hamparanku, sepertimana kamu berada di hadapan ku sekarang. Ketika itu sekumpulan hamba perempuan sedang memukul gendang sambil menyanyi dan memuji pejuang-pejuang yang terkorban dalam kalangan bapa-bapa kami dalam Perang Badar. Salah seorang penyanyi tersebut menyebut: “Bersama kami nabi Allah yang mengetahui apa yang akan berlaku esok hari”. Mendengar lirik terakhir itu Rasulullah SAW menegurnya: Tinggalkan kata-kata itu dan teruskan dengan apa telah kamu nyanyikan sebelumnya”. (riwayat al-Bukhari)
Hiburan dalam Islam sangat berlawanan dengan konsep mencari hiburan dan kepuasan murahan bagi memenuhi tuntutan nafsu badani tanpa sempadan. Malah hiburan itu juga adalah suatu yang terkawal dan terarah, bukannya satu cara mencari keseronokan dengan cara yang amat bebas sehingga tidak terkawal dan tidak terikat dengan batas-batas perundangan dan nilai keagamaan.
Konsep hiburan yang berunsurkan leisure melulu semata-mata biasanya dilakukan untuk pelbagai tujuan. Dalam Islam, konsep hiburan adalah mencari kesejahteraan, ketenangan dan kepuasan, terlepas dari perasaan bersalah, ketegangan dan keresahan. Ia dapat dilakukan dalam waktu lapang, secara individu, bersama keluarga atau kawan-kawan, bahkan ketika beribadah seperti seni taranum membaca al-Quran, gubahan sajak dan syair yang membesarkan Allah dan sebagainya.
Hiburan dalam Islam adalah suatu yang menenangkan dan mendidik jiwa. Bahkan melakukannya bukan semata-mata untuk mencari keseronokan dan memenuhi runtunan nafsu tanpa batasan.
Konsep berhibur dalam Islam adalah dengan tujuan membangunkan dan mendamaikan jiwa, menenangkan fikiran dan merehatkan rohani serta jasmani.











