MATU – Suasana sedih dan pilu menyelubungi upacara pengebumian jenazah anggota bomba, Yahya Ali, 24, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tian di sini malam tadi.
Allahyarham Yahya selamat dikebumikan di tanah perkuburan berkenaan pada pukul 7.30 malam selepas diberi penghormatan terakhir di kediaman keluarganya sebelum itu.
Dianggarkan lebih 1,000 penduduk kampung serta anggota bomba turut memberikan penghormatan terakhir kepada wira negara tersebut.
Turut berada di tanah perkuburan itu ialah bapa dan ibu mangsa iaitu Ali Bengang, 53, dan Halimah Geronggong, 42.
Sebelum itu, jenazah Yahya tiba di Lapangan Terbang Sibu kira-kira pukul 5.40 petang selepas diterbangkan khas dengan menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Pangkalan Udara Subang.
Yahya merupakan antara enam anggota bomba yang lemas ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat remaja Mohd Ilham Fahmi Mohd Azzam, 17, di lombong di Taman Putra Perdana, Puchong semalam.
Mereka yang turut terkorban dalam tragedi itu ialah Mohd Fatah Hashim, 34, Izatul Akma Wan Ibrahim, 32, Mazlan Omarbaki, 25, Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25. -K! ONLINE











