KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad menggesa pemain industri agar bergiat lebih aktif membantu Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi mewujudkan modal insan yang mampu membawa Malaysia ke arah negara maju serta menjadi ‘harimau dunia’.
Perdana Menteri berkata, penglibatan pihak industri khususnya dalam pertandingan kemahiran seperti WorldSkills Malaysia dapat meningkatkan kompetensi dan kualiti tenaga kerja mahir negara.
“Saya yakin dan percaya dengan komitmen dan iltizam yang tinggi semua pihak berkepentingan di bawah TVET dan sokongan penuh pihak industri, kita semua akan berjaya memulihkan dan membangunkan semula negara kita menjadi negara maju, dihormati dan disegani sebagai harimau dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2018 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (Mitec) hari ini.
Turut hadir Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir. – Bernama











