CYBERJAYA 4 Okt.- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja dipercayai lemas di bekas lombong Taman Putra Perdana, Puchong gdi sini hari ini terpaksa menggunakan khidmat dron Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) bagi mencari mangsa.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, sehingga kini pasukan penyelam marin Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak boleh menyelam memandangkan keadaan air lombong yang masih deras.
“Setakat ini, kami tunggu keadaan air tenang terlebih dahulu, barulah saya mengeluarkan arahan kepada pasukan marin untuk menyelam.
“Kita tidak mahu kejadian semalam berulang lagi kepada pasukan penyelamat lain, malah memandangkan bekas lombong ini mempunyai kedalaman 1,000 meter,” katanya ketika ditemui lokasi pencarian dan menyelamat di Taman Putra Perdana di sini hari ini.
Menurut beliau, pihaknya akan meneruskan operasi itu sehingga mangsa diketemukan.
“Sebanyak 150 anggota terlibat dalam operasi itu yang membabitkan agensi seperti PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat, JPS dan Pejabat Daerah Sepang,” katanya.
Pada masa sama, Abdul Aziz berkata, mangsa, Mohd. Ilham Fahmy Mohd. Azzam, 17, dikatakan tergelincir atas satu jambatan berhampiran bekas lombong itu ketika kejadian berlaku.
“Salah seorang rakan mangsa cuba menyelamatnya, tetapi usaha itu gagal,” katanya. – UTUSAN ONLINE











