Ronaldo nafi dakwaan rogol bekas model - Utusan Malaysia

Ronaldo nafi dakwaan rogol bekas model

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES, California – Polis kelmarin menyatakan bahawa pihak berkuasa membuka semula siasatan berhubung dakwaan rogol oleh seorang bekas model yang mendakwa Cristiano Ronaldo menyerangnya di suite penginapan bintang bola sepak tersebut di Las Vegas pada 2009.

Ronaldo yang kini bermain untuk kelab bola sepak Juventus dalam liga Serie A di Itali, menafikan dakwaan itu sebagai ‘berita palsu’ menerusi siaran langsung di laman sosial Instagram.

“Apa yang mereka katakan hari ini adalah berita palsu,” kata pemain pasukan kebangsaan Portugal berumur 33 tahun itu dalam statusnya sebelum di­padamkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kathryn Mayorga, 34, dari Las Vegas, menuduh Ro­naldo merogolnya pada 13 Jun 2009 dalam saman setebal 32 muka surat yang difailkan di sebuah mahkamah daerah di Nevada.

Jabatan Polis Metro­politan Las Vegas mengesahkan dalam satu kenya­taan ba­hawa pihaknya tidak mendedahkan nama bintang sukan tersebut berhubung aduan Mayorga pada tarikh itu.

“Ketika memberi keterangan, mangsa tidak mendedahkan lokasi kejadian atau memberikan gambaran suspek. Mangsa kemudian menjalani pemeriksaan perubatan,” kata kenyataan polis.

“Pada September 2018, kes itu di­buka semula dan kami sedang menyiasat maklumat yang diberikan oleh mangsa,” kata kenyataan sama.

Mayorga menyatakan dalam saman­nya bahawa dia dipaksa menanda­tangani perjanjian untuk merahsiakan kejadian serangan seksual itu dan diberikan imbuhan berjumlah AS$375,000 (RM1.55 juta)

Dalam samannya, wanita itu me­nuntut pampasan sekurang-kurangnya AS$200,000 (RM828,500). – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini