KUALA LUMPUR 2 Okt. – Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) mengumumkan telah mencapai keputusan pelaburan akhir (FID) bagi projek gas cecair asli (LNG) di Kitimat, British Columbia, Kanada dengan entiti milik penuhnya, North Montney LNG Limited Partnership (NMLLP) kini memegang 25 peratus kepentingan dalam projek berkenaan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin turut mengumumkan, rakan kongsi usaha samanya, Royal Dutch Shell plc, melalui syarikat gabungan Shell Canada Energy kini memiliki 40 peratus kepentingan dalam projek berkenaan, manakala PetroChina Company Limited, melalui anak syarikatnya PetroChina Canada Ltd. (15 peratus); Mitsubishi Corporation, melalui anak syarikatnya Diamond LNG Canada Ltd. (15 peratus); dan Korea Gas Corporation, melalui anak syarikat milik penuhnya Kogas Canada LNG Ltd (5 peratus).

Beliau berkata, projek LNG berkenaan akan dikendalikan oleh LNG Canada Development Inc.
“Keputusan pelaburan akhir dengan rakan-rakan usaha sama kami adalah pencapaian penting bagi Petronas dan industri tenaga di Kanada.
“Keputusan itu juga menandakan kerjasama yang kuat dalam kalangan rakan kongsi dan pihak berkepentingan yang berkongsi aspirasi sama untuk memberikan nilai jangka panjang melalui LNG, selaras dengan komitmen kami terhadap pembangunan sumber yang mampan dan bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, ia adalah projek LNG pertama di Kanada dan projek itu akan membuka jalan bagi kumpulan untuk menambah nilai kepada sumber gas bertaraf dunia di kawasan North Montney dan mengukuhkan portfolio bekalan LNG Petronas ke pasaran Asia.
Kemudahan eksport LNG yang akan dibina di Kitimat, British Columbia, termasuk reka bentuk, pembinaan dan operasi loji pencairan gas asli dan kemudahan penyimpanan dan eksport LNG, termasuk kemudahan marin.
LNG Kanada pada mulanya terdiri daripada dua unit pemprosesan pencairan LNG yang disebut sebagai ‘Trains’ dengan jumlah kira-kira 14 juta tan setahun dan berpotensi untuk berkembang menjadi empat Trains di masa depan.
Petronas dan rakan usaha sama North Montney, merupakan satu daripada pemilik sumber gas asli terbesar di Kanada dengan lebih daripada 52 trilion kaki persegi (Tcf) rizab dan sumber-sumber luar jangka.
Petronas merupakan pengeksport LNG ketiga terbesar di dunia selepas Qatar dan Australia dan sedang mengintai peluang di Asia Barat serta Asia Selatan.










