PUCHONG – Hujan lebat lebih sejam petang tadi mengakibat ratusan kenderaan yang menggunakan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) di hadapan Kompleks Beli Belah IOI Mall terkandas selepas laluan tersebut ditenggelami air lebih 0.5 meter.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Puchong, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd. Hisam Mat Yasih berkata, paras air dilaporkan naik di laluan berkenaan ketika hujan lebat sekitar pukul 5 petang tadi.
“Kejadian banjir tersebut tidak melibatkan sebarang kemalangan atau kecederaan namun ia menyebabkan kesesakan teruk hampir dua kilometer di kawasan tersebut.
“Bagaimanapun, paras air mulai surut kira-kira pukul tujuh petang ketika orang mula pulang bekerja,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Tambah Mohd. Hisam, punca banjir masih dalam siasatan dan keadaan lalu lintas semakin terkawal selepas paras air surut.
“Kejadian banjir kilat tersebut turut mengakibatkan beberapa kawasan di sekitar Puchong terjejas antaranya Bandar Puteri, Jalan Puchong Besar dan Taman Puchong Intan,” katanya.
Sementara itu, Lingkaran Trans Kota Sdn. Bhd. (Litrak) berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian banjir kilat tersebut berlaku disebabkan beberapa faktor seperti lumpur dari tapak pembinaan berhampiran persimpangan Bandar Puteri telah mengalir ke laluan utama LDP.
“Selain itu, hujan lebat pada petang tadi juga dikategorikan sebagai Sangat Lebat di bawah skala Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor.
“Malah, sistem perparitan sedia ada tidak mampu menampung aliran air yang amat tinggi dari Sungai Klang juga antara punca banjir kilat tersebut berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Litrak memberitahu, banjir kilat tersebut surut kira-kira pukul 6.04 petang selepas tindakan segera dan proaktif diambil
Ujarnya, Litrak turut menegaskan bahawa lokasi yang terjejas adalah berhampiran Bandar Puteri Puchong dan bukannya di berhadapan Kompleks Beli-Belah IOI seperti yang dilaporkan dalam media sosial hari ini. – K! ONLINE










