ISKANDAR PUTERI 2 Okt. – Sebanyak 63 pokok buah-buahan tempatan, iaitu durian, mangga, rambutan, pulasan dan betik ditanam di kawasan sekitar Lake 2, Educity di sini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Khairil Anwar Ahmad, berkata, inisiatif yang dijalankan menerusi program ‘Leaf a Legacy’ itu dibuat sejajar usaha mengurangkan pembebasan karbon.
“Kami merasakan bahawa penanaman pokok adalah inisiatif yang dapat dijalankan untuk mengeratkan persaudaraan serta hubungan dengan anak murid termasuk dalam kalangan penuntut universiti di kawasan sekitar.
“Ia juga boleh menjadi satu platform pemangkin bagi perkongsian pengetahuan dan pergaulan di kampus selain pengunjung dapat menghirup udara segar serta menikmati hasil tanaman,” katanya selepas menyempurnakan program ‘Leaf a Legacy’di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Bahasa Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Kamarudzaman Abdul Mubin. – UTUSAN ONLINE.











