JERANTUT 1 Okt. – Jenazah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Seri Wan Amizan Wan Abdul Razak akan dibawa pulang ke tanah air hari ini.

Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Nazri Ngah berkata, jenazah Allahyarham Wan Amizan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 5.05 petang ini.
“Jenazahnya akan dibawa ke kampung halamannya di Felda Jengka 12, Maran untuk dikebumikan,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Menurutnya, UMNO Bahagian Jerantut akan membantu keluarganya untuk urusan membawa pulang jenazah.
Wan Amizan meninggal dunia di Colombo, Sri Lanka ketika mendapatkan rawatan penyakit buah pinggangnya di sana petang semalam.
Allahyarham yang berusia 42 tahun menjadi ADUN Tahan selama dua penggal bermula 2008 sebelum tewas kepada calon Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). – UTUSAN ONLINE











