LZS kesan 100 keluarga asnaf di PPR Lembah Subang - Utusan Malaysia

LZS kesan 100 keluarga asnaf di PPR Lembah Subang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA 29 Sept. – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menjejaki 100 keluarga di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang bagi mendaftarkan mereka sebagai golongan asnaf seterusnya menerima manfaat zakat dalam program Skuad Jejak Kemiskinan.

Ketua Operasi Agihan LZS Daerah Petaling, Fadhli Yohman berkata, operasi rutin bersifat cari, siasat dan bantu itu bertujuan mengenal pasti individu atau keluarga yang memerlukan bantuan dan akan disenaraikan sebagai asnaf fakir, miskin dan mualaf.

“Matlamat LZS adalah untuk menangani kemiskinan di Selangor iaitu kepada golongan yang layak, namun masih belum disantuni oleh LZS atas beberapa faktor.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Melalui operasi ini, siasatan secara terus dari rumah ke rumah dijalankan di lokasi bagi menyemak keperluan berdasarkan haddul kifayah (garis penentuan kemiskinan) keluarga terlibat,” katanya kepada pemberita selepas operasi tersebut di sini, hari ini.

Yang hadir sama ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Badariah Abdul Jalil; Ketua Pegawai Kewangan LZS, Rapizah Muhammad Sharif dan Ketua Divisyen Komunikasi Korporatnya, Datin Norajun Ainun Mohd. Hashim.

Fadhli berkata, keluarga yang layak didaftarkan sebagai asnaf akan menerima bantuan zakat seperti yuran dan kelengkapan persekolahan, sumbangan Ramadan dan hari raya serta bantuan lain bergantung kepada keperluan semasa keluarga terbabit.

Katanya lagi, selain itu, aktiviti turun padang sedemikian turut menjejaki keperluan lain bagi umat Islam di kawasan sekitar melalui agihan wang zakat kepada asnaf gharimin dan fisabilillah.

“Di samping itu, operasi Skuad Jejak Kemiskinan hari ini turut mendapat kerjasama daripada Penolong Amil Kariah. Untuk makluman, Penolong Amil Kariah merupakan individu yang dilantik oleh LZS bagi menjalankan tugas-tugas bancian, semakan dan menjaga kebajikan orang Islam yang layak menerima zakat dalam kategori asnaf fakir, miskin dan mualaf.

“Sebagai mata dan telinga kepada LZS, Penolong Amil Kariah amat berperanan sebagai pemudahcara antara LZS dengan masyarakat terutama golongan asnaf. Program hari ini secara langsung menjadi platform bagi memberi pendedahan dan pemahaman tentang gerak kerja mengenal pasti asnaf yang layak,” katanya.

Beliau menambah, sehingga Jun lalu, sebanyak 47,298 keluarga asnaf fakir dan miskin dibantu oleh LZS.

Jelasnya lagi, daripada jumlah tersebut, 7,312 adalah keluarga asnaf di daerah Petaling. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini