SONG – Seramai 86 penduduk tinggal sehelai sepinggang selepas Rumah Panjang Bada Sungai Song yang didiami mereka musnah dalam kebakaran, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.25 pagi itu, semua penghuni tidak sempat menyelamatkan harta benda masing-masing berikutan api cepat merebak.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, rumah panjang berstruktur kekal satu tingkat itu musnah sepenuhnya dalam kejadian berkenaan.
Jelasnya, pasukan bomba tiba di lokasi kejadian kira-kira 30 minit kemudian dan berdepan kesukaran kerana paras air sungai yang cetek.
“Pasukan bomba kemudiannya memohon bantuan daripada penduduk kampung menggunakan perahu panjang ke kampung itu.
“Anggota bomba seterusnya bertindak membuat pemadaman dengan dibantu penduduk kampung menggunakan pam angkut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jurucakap sama menambah, kejadian itu tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa susulan penduduk bertindak pantas menyelamatkan diri.
“Operasi tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 12.58 tengah hari,” katanya lagi. – K! ONLINE











