PORT DICKSON 29 Sept. – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak bantahan Pas bagi menghalang Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.
Pengerusi SPR, Azhar Azizan berkata, keputusan itu berasaskan kepada pengampuan penuh yang telah diterima Anwar daripada Yang di-Pertuan Agong pada Mei lalu.
“SPR mengambil pendirian Anwar layak bertanding berteraskan kepada pengampunan yang diterimanya dan ia adalah berdasarkan Perlembagaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas penamaan calon PRK Parlimen Port Dickson di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson di sini.
Pas hari ini mengemukakan surat bantahan dan mempersoalkan kelayakan Anwar untuk bertanding semasa proses penamaan calon PRK tersebut.
Dalam pada itu, Azhar berkata, pihaknya meletakkan sasaran peratusan keluar mengundi mencecah 70 peratus.
Katanya, ini kerana PRK itu disertai personaliti menarik dan keputusannya mempunyai kesan besar kepada politik negara.
Ujarnya, tujuh calon yang bertanding menyamai jumlah calon dalam PRK Dewan Undangan Negeri Kalabakan dan Sulabayan pada 2013. – UTUSAN ONLINE











