KUALA LUMPUR 28 Sept. – UMNO tidak lagi boleh bergerak seperti mana dilakukan sejak 60 tahun lalu iaitu statik dan takut kepada perubahan.
UMNO pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) mesti beroperasi di luar kelaziman.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan memberi gambaran bahawa akar umbi perlu menggunakan segala imaginasi, kebitaraan dan modal intelektual bagi merangsang ‘rejuvenasi’ UMNO.
Berita berkaitan:
“Wujudkan gelombang baharu. Jana tenaga dan semangat yang membara. Tinggalkan amalan lapuk dan bangkitlah dengan misi yang meyakinkan.
“Percayalah, ikhtiar memulihkan UMNO sangat memerlukan penerokaan idea-idea besar dan luar biasa. Daripada saudara-saudarilah saya harapkan idea-idea segar dan luar biasa ini datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan serentak persidangan sayap Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri sempena Perhimpunan Agung UMNO 2018, di sini hari ini.
Walau bagaimanapun, Mohamad menasihatkan akar umbi supaya tidak melupakan susur galur bangsa serta adat dalam mewujudkan pendekatan luar kelaziman berkenaan. – UTUSAN ONLINE











