KANGAR 28 Sept. – Mayat seorang lelaki dalam keadaan kembung ditemukan tersangkut di atas batu di tepi Sungai Baru, Kampung Wai, Kuala Perlis di sini petang tadi.
Mayat tersebut yang lengkap berpakaian ditemukan oleh orang awam yang melalui kawasan itu kira-kira pukul 5.50 petang.
Ketua Polis daerah, Superintenden Wari Kiew berkata, pada masa ini, identiti mangsa masih belum diketahui berikutan keadaan wajah lelaki itu yang sudah kembung hingga menyukarkan pengecaman.
“Ketika ditemukan, mayat mangsa didapati tersangkut pada batu yang berada di tepi sungai di bawah sebuah jambatan yang baru dibina.
“Kita masih menyiasat punca kejadian. Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk proses bedah siasat,” katanya, di sini hari ini.
Untuk rekod, dalam tempoh tidak sampai seminggu, terdapat dua kes melibatkan penemuan mayat di negeri ini.
Isnin lalu, dua mayat dalam keadaan kembung dipercayai meninggal dunia sejak seminggu lalu akibat kemalangan ditemukan di dalam parit di simpang masuk Kampung Sungai Bugis, Simpang Empat, Arau.
Dua mayat yang ditemukan oleh penduduk kampung tersebut kira-kira pukul 5.30 petang itu masing-masing seorang lelaki dan perempuan. – UTUSAN ONLINE











