PARA pelajar dari Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), baru-baru ini, berusaha meningkatkan kesedaran umum terhadap keperluan untuk menderma organ menerusi program jogaton amalnya yang dinamakan Organs For Love.
Dengan tumpuan kepada Pemindahan Ginjal sebagai tema tahun ini, jogaton itu berjaya mengumpulkan RM1,500 untuk Persatuan Transplantasi Malaysia.
Jogaton Organs For Love 2018, yang disertai 415 orang, bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap pemindahan organ. Di samping itu, kira-kira 87 membuat ikrar sebagai penderma organ.
Jogaton ini membabitkan larian sejauh 7 kilometer (km) dan 5 km. Peserta juga digalakkan untuk menjadikan jogaton ini satu acara keluarga dengan membawa anak-anak mereka bersama.
Novartis Corporation Malaysia ialah penaja utama jogaton anjuran UM ini,
Buat masa ini di Malaysia, terdapat kira-kira 21,500 pesakit menunggu untuk pemindahan organ, dan 99 peratus daripada mereka menunggu penderma untuk pemindahan ginjal (buah pinggang), manakala yang lain memerlukan pemindahan hati, jantung dan paru-paru.
Ginjal bukan sahaja berfungsi untuk menapis sisa buangan daripada darah, tetapi juga terlibat dalam mengawal tekanan darah, imbangan elektrolit, dan pengeluaran sel darah merah dalam badan.
Pemindahan ginjal diperlukan apabila ginjal seseorang kehilangan keupayaan untuk berfungsi, menyebabkan penyakit ginjal kronik (CKD).
CKD boleh berpunca daripada banyak keadaan termasuk tekanan darah tinggi, diabetes, kolesterol tinggi, jangkitan dan lain-lain.











