BANDAR RAYA NEW YORK – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengakui kelmarin bahawa ikatan persahabatan dengan rakan sejawatnya dari China, Xi Jinping bakal berakhir ketika beliau menuduh Beijing cuba menjejaskan peluangnya dalam pilihan raya akan datang.
Selepas menuduh Beijing menggunakan pelbagai taktik untuk merosakkan peluangnya dalam pilihan raya pertengahan penggal pada November ini, Trump berkata, hubungan dengan Jinping berubah arah menjadi lebih buruk.
Trump berulang kali menyebut tentang persahabatannya dengan Jinping sejak beliau menduduki White House, malah Presiden AS itu turut memuji pemimpin China tersebut kerana membantu mengenakan tekanan ke atas Korea Utara berhubung program nuklear Pyongyang.
Bagaimanapun, ketika ditanya pada satu sidang akhbar di New York tentang sama ada Jinping akan kekal sebagai sahabatnya di sebalik situasi tegang antara AS dan China, Trump membayangkan bahawa beliau memilih untuk dihormati berbanding disukai.
“Beliau mungkin bukan kawan saya lagi tetapi saya fikir beliau mungkin menghormati saya,” kata Trump sambil menambah, ekonomi AS dengan mudah dapat mengesampingkan impak perang perdagangan Washington-Beijing.
Pada minggu ini, Washington menguatkuasakan tarif baharu terhadap import China berjumlah AS$200 bilion (RM827 bilion).
Dalam perkembangan sama, Trump melemparkan tuduhan bahawa China cuba campur tangan dalam pilihan raya AS semasa beliau menghadiri mesyuarat Majlis Keselamatan PBB kelmarin.
“Beijing tidak mahu saya atau kami (Parti Republikan) menang kerana saya Presiden AS pertama pernah mencabar China dalam isu perdagangan,” katanya. – AFP











