Raudhatul juara 
Pendakwah Muslimah 2018 - Utusan Malaysia

Raudhatul juara 
Pendakwah Muslimah 2018

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PROGRAM realiti Pendakwah Muslimah 2018 yang bersiaran di saluran televisyen TV AlHijrah telah melabuhkan tirai pada 22 September lalu, sekali gus menyaksikan kemenangan berpihak kepada Raudhatul Jannah Mohd Rozli.

Kemenangan tersebut melayakkan Raudhatul atau digelar Pendakwah Muslimah Raudhah membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000, pakej Umrah serta trofi.

Tidak mampu menyembunyikan air mata kegembiraan, peserta kelahiran Shah Alam, Selangor itu mengharapkan gelaran kejuaraan tersebut dapat membuka peluang buatnya berdakwah kepada masyarakat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sememangnya saya merupakan pengikut tegar rancangan terbitan stesen televisyen TV AlHijrah ini yang sarat dengan mesej dakwah. Syukur, impian saya untuk berdakwah dengan menggunakan platform televisyen terlaksana menerusi program ini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada setiap individu yang telah banyak memberi sokongan. Ini merupakan detik permulaan perjalanan saya secara serius menggerakkan langkah Ummah,” katanya dalam nada teruja.

Pada masa sama, pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu juga mengharapkan kemenangannya dapat mengubah persepsi khalayak bahawa tugas sebagai pendakwah turut boleh dilakukan oleh golongan hawa.

Saingan

“Diharapkan kemenangan ini akan membuatkan saya lebih bersemangat untuk meneruskan usaha dakwah. Tugas untuk menyebarkan syiar Islam bukanlah satu kerja mudah yang terletak pada bahu kaum lelaki sahaja. Sebaliknya, ia merupakan usaha dan tanggungjawab setiap individu,” terangnya optimis.

Memperlihatkan persaingan sengit antara enam orang peserta, kemahiran dan kebolehan Pendakwah Muslimah Raudhah dalam menyampaikan tazkirah bertajuk Suami & Anakku Penghuni Syurga nyata berjaya menarik perhatian juri tetap iaitu Datuk Dr. Izhar Mohd. Ariff dan Dr. Nik Salida Suhaila.

Menurut Ketua Unit Penerbitan TV AlHijrah, Adi Syamsul Mohd. Hayee, kelebihan itu lantas membuatkan Pendakwah Muslimah Raudhah lebih menyerlah berbanding peserta lain.

“Adat dalam pertandingan, ada yang menang dan kalah manakala rezeki berpihak kepada Pendakwah Muslimah Raudhah. Saya melihat keenam-enam finalis adalah juara kerana kesemua mereka telah melaksanakan tugas dengan cemerlang,” ujar Adi Syamsul.

Acara yang berlangsung di Big Studio Cyberjaya itu turut menyaksikan Pendakwah Muslimah Nurul Amirah dan Pendakwah Muslimah Noor Hidayah berpuas hati dengan kedudukan kedua dan ketiga. Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000 dan RM3,000 bersama trofi.

Tempat keempat dan kelima pula disandang oleh Pendakwah Muslimah Azizah dan Pendakwah Muslimah Erni, sekali gus membolehkan mereka membawa pulang hadiah sagu hati wang tunai bernilai RM 500 serta trofi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini