PARIS 27 SEPT. – Hanya seorang daripada 20 kanak-kanak di Amerika Syarikat (AS) menepati garis panduan jadual tidur serta senaman mencukupi dan mematuhi masa yang diluangkan untuk bermain gajet, manakala hampir satu pertiga lagi tidak mengikuti saranan sewajarnya.
Menurut laporan The Lancet Child & Adolescent Health, secara purata, kanak-kanak berusia lapan hingga 11 tahun menghabiskan masa selama 3.6 jam sehari dengan menonton televisyen, bermain telefon pintar, tablet atau komputer.
Tempoh itu dua kali ganda daripada yang ditetapkan iaitu selama dua jam sahaja.
Laporan itu juga menyebut bahawa jumlah masa tidur dan senaman yang tidak mencukupi sering dikaitkan dengan penurunan kemahiran kognitif seperti keupayaan berbahasa, memori dan melakukan tugasan.
Ketua penulis, Jeremy Walsh berkata, golongan doktor kanak-kanak, ibu bapa, pendidik dan ahli-ahli politik seharusnya mempromosi had masa untuk bermain gajet dan mengutamakan rutin tidur yang mencukupi ketika zaman kanak-kanak dan remaja.
“Kajian dilakukan terhadap 4,520 kanak-kanak di 20 lokasi di seluruh AS, selain kami juga melakukan ujian kognitif ke atas enam kanak-kanak berdasarkan jumlah pendapatan isi rumah, tahap kematangan beberapa faktor lain yang boleh mempengaruhi prestasi mereka.
“Keputusan kajian diukur berdasarkan Garis Panduan Pergerakan 24 Jam Kanada untuk kanak-kanak dan mendapati rutin tidur serta senaman yang dicadangkan oleh garis panduan tersebut sejajar dengan saranan Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya.
Hampir 30 peratus kanak-kanak dalam kajian tersebut gagal memenuhi mana-mana cadangan dalam garis panduan tersebut dan separuh daripada mereka memperoleh tidur yang cukup, 37 peratus mengikuti saranan masa bermain gajet dan hanya 18 peratus memenuhi keperluan aktiviti fizikal.
Sehubungan itu, kajian tersebut menyimpulkan bahawa semakin banyak cadangan atau saranan diperkenalkan kepada kanak-kanak, mereka akan mencatat perkembangan kognitif yang lebih baik. – AFP











