PASIR PUTEH 27 Sept. – Demi kasih dan sikap tanggungjawab untuk menjaga seorang ibu yang terlantar sakit, dua remaja perempuan di Kampung Seri Aman, dekat sini, mengabaikan segalanya termasuk keperluan masa hadapan mereka.
Siti Nor Aishah Hussin, 18, terpaksa meninggalkan pekerjaannya sebagai jurujual manakala adiknya, Siti Nor Asyikin, 16, berhenti sekolah untuk mengurus ibunya, Miss Maehyah Mahama, 52, yang terlantar sakit disebabkan kanser tulang sejak lima tahun lalu.
Kehidupan mereka semakin terhimpit dan dikekang kemiskinan selepas kematian bapa mereka, Hussin Dollah disebabkan penyakit lelah lapan tahun lalu.
Menurut Siti Nor Aishah, segala perbelanjaan bagi pengurusan harian bergantung sepenuhnya kepada bantuan bulanan RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain wang yang dikirimkan abang sulungnya yang bekerja kilang di Johor Bahru.
“Sebelum ini ibu dirawat di Hospital Universiti Sains Kubang Kerian (HUSM) dan sekarang masih perlu merujuk ke Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh.
“Saya pernah bekerja untuk membantu keluarga tetapi akhirnya saya ambil keputusan untuk berhenti kerana mahu menjaga ibu yang semakin kritikal,” katanya di sini hari ini.
Siti Nor Aishah, berkata keluarga bapanya berasal dari Terengganu manakala ibunya berasal dari negara jiran menyebabkan mereka gagal menumpang ihsan dan simpati.
“Kami kini tinggal di rumah sewa dengan kadar RM150 sebulan kerana tidak mampu memiliki rumah sendiri.
“Saya hanya mampu berdoa agar ibu cepat sembuh dan tidak sanggup melihat ibu terus menderita,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi Siti Nor Aishah di talian 011-61846124.











