KUALA LUMPUR 27 Sept. – Seorang penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) memberitahu dia dan beberapa rakannya yang menjadi saksi dalam perbicaraan kes bunuh Zulfarhan Osman Zulkarnain telah diberi amaran oleh pegawai atasan supaya tidak memberi keterangan memihak kepada semua tertuduh.
Menurut Ahmad Senabil Mohamad, 22, amaran itu diberikan selepas pihak atasan tidak berpuas hati dengan keterangan Muhammad Izzul Akhtar Rosli, 22, yang merupakan saksi pendakwaan ke-17 dalam perbicaraan kes tersebut.
Penuntut tahun tiga jurusan Pengurusan Sumber Manusia di UPNM itu dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini turut bersetuju dengan cadangan peguam Amer Hamzah Arshad bahawa pegawai atasan memanggil mereka selepas Muhammad Izzul Akhtar memberi keterangan di mahkamah.
Saksi pendakwaan ke-24 itu memberi keterangan demikian ketika sesi pemeriksaan balas dalam perbicaraan kes bunuh Pegawai Kadet Zulfarhan Osman yang masuk hari ke-15 hari ini.
Dalam kes tersebut, enam penuntut iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd. Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd. Ali didakwa membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara pukul 4.45 pagi dan pukul 5.45 pagi, 22 Mei 2017.
Pertuduhan terhadap mereka yang kesemua berusia 22 tahun itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Mereka bersama 13 penuntut lain turut didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba yang dikemukakan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Dalam pada itu, Ahmad Senabil memberitahu, dia dan beberapa rakan lain turut dipanggil oleh pegawai penyiasat Kor Polis Tentera Diraja untuk memberi keterangan berhubung kejadian yang menimpa Zulfarhan Osman.
“Kami dipanggil ramai-ramai dalam satu bilik dan selepas memberi keterangan, kami menandatangani dokumen tersebut,” katanya sambil memberitahu tertuduh-tertuduh tidak dipanggil dalam sesi tersebut.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 25 Oktober ini. – UTUSAN ONLINE











