Ragut rantai warga emas, peniaga dipenjara, sebat - Utusan Malaysia

Ragut rantai warga emas, peniaga dipenjara, sebat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA 27 Sept. – Akibat meragut rantai leher milik seorang warga emas menggunakan parang dua tahun lalu, seorang peniaga dihukum penjara 12 tahun dan sebatan lima kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Datin Fadzlin Suraya Mohd. Suah menjatuhkan hukuman itu terhadap Nor Azuan Afifi Md. Akhir, 27, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dengan syarat jumlah jaminan dinaikkan daripada RM15,000 kepada RM30,000 serta perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai.


Memuatkan artikel berkaitan…

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah bersama-sama dua lagi yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan terhadap Zaiton Mokhtar, 58, dengan melarikan rantai dan loket emas bernilai kira-kira RM7,000 menggunakan tiga bilah parang yang boleh menyebabkan kematian atau cedera parah.


Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Tiong 10, Bandar Puchong Jaya, Puchong dekat sini kira-kira pukul 6.45 petang, 18 April 2016.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.


Ketika rayuan, peguam Gabriel Susayan yang mewakili Nor Azuan Afifi memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya telah insaf serta perlu menanggung ahli keluarga sementara Timbalan Pendakwa Raya, Asyraf Ashy’ari Kamaruzaman memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran dengan mengambil kira kepentingan awam.


“Mangsa dalam kes ini adalah warga emas dan mengalami kecederaan parah di bahagian leher. Malah ketika kejadian tertuduh menggunakan tiga bilah parang dan menimbulkan trauma ke atas tiga orang kanak-kanak yang bersama mangsa,” kata Asyraf Ashy’ari.


Sepanjang perbicaraan, seramai lima saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan dipanggil. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini