TAIPING – Seorang lelaki dijatuhi hukuman mati manakala rakannya yang merupakan seorang remaja dihukum penjara selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isteri seorang anggota polis trafik di rumah mangsa di Taman Tanjong Emas, Ulu Kinta, Ipoh tiga tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Asmadi Hussin membuat keputusan tersebut selepas meneliti hujah pihak pendakwaan dan pembelaan serta keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi yang dipanggil dan mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
“Bagi tertuduh pertama yang berusia 17 tahun ketika kejadian, kamu tidak tertakluk kepada hukuman gantung. Oleh sebab itu, kamu dijatuhi hukuman penjara sehingga mendapat pengampunan daripada pemerintah negeri iaitu Sultan.
“Tertuduh kedua, A. Nagarujun, 22, pula dijatuhi hukuman gantung sehingga mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Kedua-dua tertuduh hanya menunduk ke lantai ketika hukuman terhadap mereka dibacakan.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama membunuh Izaah Abdullah, 52, di sebuah rumah di Taman Tanjong Emas, Ulu Kinta, Ipoh antara pukul 12.30 tengah malam dan 2 pagi 11 Februari 2015.
Mereka berdua didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Azrul Faidz. Tertuduh remaja diwakili peguam bela, Ranjit Singh manakala peguam Naran Singh mewakili Nagarujun.
Kosmo! pada 25 Februari 2015 melaporkan, dua lelaki termasuk seorang remaja berusia 17 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh atas tuduhan membunuh isteri seorang anggota polis trafik dalam kejadian samun di rumah mangsa di Taman Tanjong Emas, Ulu Kinta, Ipoh.
Dalam kejadian awal pagi 11 Februari 2015 itu, mangsa, dipercayai ditekup dengan bantal bagi mengelakkannya daripada melawan sebelum ditikam di bahagian leher di dalam bilik tidurnya. – K! ONLINE











