Mahasiswa belajar ilmu ikhtiar hidup di Gunung Rajah - Utusan Malaysia

Mahasiswa belajar ilmu ikhtiar hidup di Gunung Rajah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEGIATAN rekreasi di luar bilik kuliah mempunyai pelbagai manfaat bagi membina sahsiah diri mahasiswa, sekali gus menyokong proses pembelajaran mereka.

Sehubungan itu, sekumpulan 33 orang mahasiswa Universiti Malaya (UM) dari Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah (KK12) meluangkan masa selama tiga hari dan dua malam mendaki puncak Gunung Rajah di Bentong, Pahang baru-baru ini.

Selain melakukan aktiviti perkhemahan dan pendakian, para peserta turut mengambil peluang mengganti serta membetulkan tali pemegang di beberapa lokasi pendakian dengan bantuan jurupandu arah berpengalaman dari CORE Adventures Sdn. Bhd.

Memuatkan artikel berkaitan…

Di samping itu, mereka juga didedahkan dengan penggunaan tali dalam situasi kecemasan, khususnya ketika menyeberang sungai berarus deras.

“Ilmu ikhtiar hidup ketika berada dalam hutan tidak terhad untuk digunakan semasa perkhemahan semata-mata.

“Program pendakian Gunung Rajah banyak menerapkan nilai-nilai kerjasama, bersyukur dan tidak berputus asa yang merupakan ciri-ciri penting untuk menjadi mahasiswa berjaya,” kata Afzan Fatiha Mohd. Khairi, 21, mahasiswa Fakulti Kejuruteraan UM yang merupakan pengarah program.

Pemandangan

Gunung Rajah yang berketinggian 1,684 meter dari aras laut boleh didaki melalui beberapa lokasi.

Kumpulan pendaki UM telah memilih untuk memulakan pendakian dari Pintu Rimba Rajah yang terletak berhampiran lokasi tarikan pelancong tempatan iaitu Air Terjun Chamang.

Tambah Afzan Fatiha, mereka berkhemah di kawasan Lata Naning dan di puncak Gunung Rajah sambil menikmati pemandangan malam yang indah.

Sekiranya cuaca baik, pendaki dapat melihat kerlipan lampu dari Genting Highlands dan bandar-bandar berdekatan seperti Rawang di Selangor, Tanjung Malim di Perak, dan Bentong di Pahang.

Sementara itu, salah seorang peserta Muhammad Muaz Sazlan berkata, walaupun sudah biasa menyertai aktiviti mendaki gunung sebelum ini, dia berasa gembira kerana dapat berbakti kepada pendaki menerusi pelbagai aktiviti yang dijalankan.

“Para peserta juga didedahkan dengan kepentingan menjaga kebersihan daripada aspek kelestarian alam sekitar dan keselesaan untuk pendaki lain.

“Kami berjaya mengutip sebanyak 10 beg sampah seberat hampir lima kilogram setiap satu dan membawanya turun ke kaki Gunung Rajah,” cerita mahasiswa Fakulti Undang-Undang UM itu.

Jelasnya lagi, sampah yang terkumpul bukan sahaja dikutip dari sekitar kawasan perkhemahan tetapi di sepanjang laluan pendakian.

Kempen

Usaha itu merupakan sebahagian daripada kempen kebersihan dalam kalangan kumpulan-kumpulan pendaki Malaysia yang dinamakan #PickItUp.

Seorang lagi peserta, Rusydiatuzzawani Esmail, 20, berkata, aktiviti itu meningkatkan kecergasan fizikal dan memberi peluang mempelajari mengenai pendakian di gunung terutamanya ia merupakan pengalaman pertama menyertai program seumpama itu.

“Kami juga didedahkan dengan cara selamat untuk menyeberangi sungai arus deras.

“Kemahiran ini sangat penting terutamanya apabila mendaki atau berkhemah ketika musim hujan,” tutur mahasiswa Akademi Pengajian Islam UM itu.

Dalam pada itu, Pengetua KK12 dan penasihat program, Prof. Madya Dr. Nahrizul Adib Kadri berkata, pendedahan luar bilik kuliah seperti itu adalah amat bertepatan dengan hasrat universiti serta negara untuk menghasilkan graduan yang holistik dan serba boleh.

“Program yang mendapat kerjasama daripada Jabatan Perhutanan Pahang ini bakal dijadikan program pendakian berkala supaya impak yang dihasilkan lebih terkesan dalam kalangan para peserta. Ia boleh diukur bagi penentuan keberkesanan pencapaian objektif yang digariskan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini