COLOMBO 24 Sept. – Ketua Pembangkang, Ibrahim Mohamed Solih menang mengejut dalam pilihan raya Maldives dengan menewaskan pesaingnya Abdulla Yameen yang sebelum ini menjadi Presiden negara itu.
Keputusan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya pada awal hari ini menunjukkan Ibrahim memperoleh 58.3 peratus undi popular.
Kemenangan Ibrahim dirai di seluruh kepulauan itu dengan penyokong pembangkang membawa bendera Parti Demokratik Maldives (MDP) berwarna kuning dan menari di atas jalan raya.
Sementara itu, Abdulla mengakui kekalahannya dalam pilihan raya tersebut dan memaklumkan akan mengatur peralihan kuasa secara lancar kepada bakal presiden baharu itu.
“Saya menerima keputusan hari ini. Saya menerima kekalahan dan akan melakukan peralihan kuasa secara lancar,” katanya dalam ucapan yang disiarkan negara itu.
Sementara itu, Ibrahim menyeru Abdulla supaya menghormati kehendak rakyat dan peralihan kuasa yang aman dan lancar,” katanya di televisyen.
Beliau juga menggesa bekas presiden itu segera melepaskan banyak tahanan politik.
Sebelum ini, bagi mengekalkan kuasanya, Abdulla memenjarakan atau mengasingkan hampir kesemua pesaingnya.
Sebelum pemilihan dibuat, polis menyerbu ibu pejabat kempen pembangkang MDP dan menggeledah bangunan selama beberapa jam dalam usaha untuk menghentikan apa yang mereka sebut sebagai ‘aktiviti haram’.
Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat.
Ketua MDP, Mohamed Nasheed berkata undi itu akan ‘membawa negara kembali ke laluan demokrasi’. – AFP











