BAU – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang di hutan Gunung Singai di sini sejak enam hari lalu ditemui selamat pagi tadi.
Mangsa, Stanley Kho, 22, dijumpai kira-kira pukul 8.40 pagi namun berada dalam keadaan lemah.
Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, mangsa dijumpai pada jarak 300 meter dari Pos Kawalan Bomba (PKB).
“Bagaimanapun, laluan ke lokasi mangsa perlu mendaki dengan kecuraman 80 darjah.
“Setakat ini, usaha membawa turun mangsa sedang giat dijalankan,” katanya di sini sebentar tadi.
Difahamkan, kira-kira pukul 8.10 pagi, beberapa penduduk kampung terdengar orang meminta tolong dan mereka terus memanggil pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bagi mendapatkan bantuan.
Dalam kejadian Isnin lalu, mangsa mula mendaki gunung itu secara bersendirian sebelum dilaporkan hilang pada pukul 8.30 pagi Selasa lepas.
Kehilangan mangsa disedari rakan-rakannya yang ternampak kereta Stanley di kaki gunung berkenaan.
Stanley juga sempat menghubungi rakannya menerusi aplikasi WeChat pukul 10.05 pagi Isnin lalu. – K! ONLINE










