AS kritik China tindas etnik Uighur - Utusan Malaysia

AS kritik China tindas etnik Uighur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) kelmarin mengkritik layanan China terhadap etnik Muslim Uighur di negara itu, sekali gus menambah senarai pertikaian dalam hubungan yang semakin bergolak antara kedua-dua kuasa tersebut.

Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo menyuarakan kecaman itu selepas laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai pengasingan besar-besaran etnik Uighur atas alasan untuk menghalang ekstremis di barat wilayah Xinjiang.

“Beratus-ratus ribu dan kemungkinan berjuta-juta etnik Uighur ditempatkan di luar kemahuan mereka di kem-kem pendidikan semula. Mereka terpaksa menerima indoktrinasi politik yang pa­rah dan penderaan yang sangat teruk,” kata Pompeo dalam ucapan di negara yang mengamalkan kebebasan ber­agama dari seluruh dunia itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kepercayaan agama mereka cuba dimusnahkan,” kata Pompeo.

Dalam satu surat kepada Pompeo dan Setiausaha Perbendaharaan, Steve Mnuchin, anggota Kongres Parti Republik dan Demokrat akhir bulan lalu meminta sekatan dikenakan ke atas pegawai China yang terlibat menahan etnik Uighur.

Pompeo tidak menyatakan sama ada AS akan mengambil sebarang tindakan hukuman mengenai isu tersebut.

Bagaimanapun, ucapan itu dibuat dengan tegas bahawa pentadbiran Presiden Donald Trump menekankan kepentingan hak asasi manusia dalam hubungan dengan sekutunya seperti Mesir dan Arab Saudi.

Pompeo juga melahirkan kebimbangan mengenai nasib penganut agama Kristian di China yang katanya telah menjadi sasaran dalam tindakan keras kerajaan.

Kerajaan China katanya; “Telah menutup gereja-gereja, membakar kitab Injil dan memerintahkan penganutnya untuk menandatangani surat supaya menggugurkan agama mereka.” – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini