KUALA LUMPUR 20 Sept. – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini hadir ke Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), di Menara KPJ, Jalan Tun Razak di sini.
Beliau yang ditahan dilokap Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya semalam tiba di unit itu kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.
Kehadiran Ahli Parlimen Pekan itu berhubung siasatan kes 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) berkaitan kemasukan wang RM2.6 bilion ke akaun peribadi beliau.
Sebelum itu beliau dibawa keluar dari Ibu Pejabat SPRM dengan menaiki kenderaan jenis Toyota Alphard berwarna hitam menuju ke sini pada pukul 8.00 pagi.
Najib kemudian akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada hari ini pada pukul 3 petang ini untuk pertuduhan di mahkamah. – UTUSAN ONLINE











