LONDON 19 Sept. – Pengendali Manchester United, Jose Mourinho mengetepikan Antonio Valencia daripada aksi sulung Liga Juara-Juara menentang kelab Switzerland, Young Boys di Bern hari ini (pukul 3 pagi ini waktu Malaysia) kerana bimbang dengan permukaan padang tiruan yang mampu mencederakan pemainnya.
Gergasi Liga Perdana Inggeris itu membuka saingan Kumpulan H di atas permukaan padang sintetik 3G di Stade de Suisse tanpa kapten mereka dalam usaha melindungi lutut pemain tersebut.
“Kami memutuskan untuk merehatkan Antonio Valencia kerana lututnya bukanlah lutut yang dicipta untuk beraksi di atas padang tiruan.
“Mengambil kira situasi Valencia, kami perlu melindunginya. Namun, selain daripada itu kami akan melakukan segala-galanya dengan menggunakan apa yang kami ada untuk cuba memenangi perlawanan.
“Jadi, kami bawa Luke Shaw kembali dalam skuad,” ujar Mourinho dalam sidang akhbar. – AGENSI











