KUALA LUMPUR – Politik parti Pas yang membawa perpecahan kepada orang Melayu dan bukannya agama Islam, kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Katanya, perbuatan Pas itu tidak boleh dimaafkan di mana sebelum ada parti tersebut, orang Melayu tidak berpecah kerana agama.
“Hanya apabila Pas ditubuh barulah orang Melayu berpecah dan terpisah kepada dua puak yang bermusuh ketat. Perpecahan ini jugalah yang melemahkan orang Melayu. Demikianlah kelemahan orang Melayu sehingga Pas juga terpaksa meminta pertolongan orang-orang ‘kafir’,” katanya menerusi catatan terkininya di blog Chedet.
Bagaimanapun, beliau berkata, Pas mendakwa parti itu tidak jadi ‘kafir’ meskipun bekerjasama dengan parti ‘kafir’ kerana kerjasama tersebut adalah “Tahaluf Siyasi”.
“Apa dianya Tahaluf Siyasi jika diterjemah ke Bahasa Melayu? Maknanya ialah “kerjasama politik” dan ini adalah sama dengan apa yang dilakukan oleh UMNO apabila bekerjasama dengan MCA dan MIC,” katanya. – Bernama











