PADANG BESAR – Kejadian ribut serta hujan lebat yang melanda negeri ini dan menyebabkan kemalangan meragut empat nyawa malam semalam mendapat perhatian Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri yang diwakili Setiausaha Politiknya, Abu Bakar Yahya hari ini menziarahi serta menyalurkan sumbangan kepada keluarga mangsa yang terlibat termasuk ahli keluarga pasangan suami isteri, Mohd. Hafiz Johari, 28, dan Siti Asmah Abdul Khalid, 27, yang meninggal dunia akibat kemalangan di Jalan Bukit Chabang, di sini kira-kira pukul 9.30 malam.
Bapa kepada mangsa, Johari Mat, 57, ketika ditemui di Kampung Kok Klang memberitahu dia terkejut apabila menerima berita anak lelaki serta menantunya itu terlibat dalam kemalangan selepas kenderaan Nissan Murano yang dinaiki bertembung dengan kereta Perodua Kancil yang dipandu seorang anggota polis, Muhammad Amirul Naim Abdul Aziz, 24, yang turut meninggal dunia.
“Saya betul-betul terkejut mendapat berita mengenai kejadian yang menimpa anak lelaki dan menantu saya. Yang menyedihkan menantu saya itu sarat mengandung dan dijangka akan melahirkan anak semalam.
“Saya reda dengan ketentuan ilahi ini dan saya bersyukur cucu saya Alya terselamat. Terharu juga bencana yang menimpa keluarga kami ini mendapat perhatian Perdana Menteri,” katanya.
Pada masa sama, Abu Bakar turut menyampaikan bantuan serta sumbangan kepada keluarga Muhammad Amirul Naim di Kampung Seriap, di sini yang diterima oleh bapanya, Abdul Khalid Mustafa, 47.
Bagaimanapun, isteri dan dua anak Muhammad Amirul Naim masing-masing berusia dua tahun dan empat bulan terselamat namun masih mendapatkan rawatan di hospital.
Selain itu, turut menerima sumbangan ialah Roslan Don, 42, iaitu bapa kepada remaja berusia 14 tahun, Muhamad Kamal Haikal Roslan yang meninggal dunia selepas merempuh batang pokok tumbang semasa menunggang motosikal di Kampung Baru Tok Kuning, malam semalam.
Dalam perkembangan lain, Abu Bakar sempat meninjau keadaan rumah keluarga Awang Hassan, 76, yang runtuh akibat kejadian ribut kira-kira pukul 11 malam semalam di Kampung Lena Bulu di Air Hitam, Kedah. – K! ONLINE











