IPOH 18 Sept. – Setiausaha Agung Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Mae Chen mendedahkan terdapat 26 permohonan daripada pelbagai negara yang diterima persatuan itu bagi mengisi kekosongan jawatan ketua jurulatih pasukan renang negara.
Tambahnya, pihak ASUM tidak mahu membuat keputusan terburu-buru, sebaliknya masih menunggu sehingga akhir bulan ini iaitu tarikh terakhir permohonon bagi jawatan berkenaan ditutup.
“Setakat ini kita telah menerima 26 permohonan yang berminat menjadi jurulatih renang skuad negara dan kita akan memperhalusi segala kriteria serta menunggu sehingga tarikh tutup permohonan jawatan itu.
“Kita harus cari jurulatih yang lebih baik daripada jurulatih sebelum ini (Paul Birmingham) supaya perenang-perenang mampu bersaing di peringkat lebih tinggi. Paul adalah seorang jurulatih yang bagus tapi kita perlu akur dengan keputusannya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Birmingham membuat keputusan untuk mengundurkan diri selepas 10 tahun berkhidmat di Malaysia kerana mendapat tawaran luar yang lebih baik.
Jurulatih dari Australia itu mengambil keputusan meninggalkan skuad renang negara selepas berakhir Sukan Asia Indonesia, 18 Ogos-2 September lalu walaupun kontraknya hanya akan berakhir Disember ini.











